Apakah pandangan anda terhadap seseorang muslimat yang bercita-cita seperti saya?Mungkin ada yang terlintas beranggapan saya seorang ‘ekstrim’ dengan usrah atau terpengaruh dengan budaya politik PAS atau golongan muda yang bersemangat seperti hangat-hangat tahi ayam lantaran kerana selalu mengikuti program.Mungkin juga ada yang berfikiran bahawa seseorang wanita hanya cukuplah untuk menjadi ‘suri rumah’ atau mempedulikan hal rumah tangga sahaja.Usah difikirkan sangat nak aktif jadi aktivis,cukup peduli tentang soal suami dan anak.Itu mungkin pandangan orang awam yang boleh saya ketengahkan.
Ada juga berpendapat yang muslimat hanya cukup menjadi penggerak bagi jemaah ketika berada di alam bujang sahaja.Mungkin juga ada yang mengatakan muslimat harus fokus tentang tarbiyah aulad berbanding tarbiyah ijtimaie. Malah tak kurang juga mengatakan bahawa medan perjuangan islam hanya gah ditempuhi oleh golongan Adam sahaja.Muslimat hanya sesuai dan nampak elok untuk menjadi ‘isteri solehah’ berbanding menjadi seorang ‘daie’.Itu pula merupakan lontaran mentaliti kebiasaan seorang muslimin yang mempunyai fikrah islam yang sering kedengaran di telinga saya.
Saya jadi bingung apabila memikirkan hal ini.Apakah identiti sebenar yang harus saya miliki sebagai makhluk Allah?Apabila saya melihat keadaan sekeliling saya,sekali lagi saya jadi pusing.Anak-anak gadis seperti saya banyak terjebak dengan masalah sosial yang begitu teruk.Harga diri dan kehormatan seorang gadis Melayu yang menganuti Islam boleh dibeli dengan murah seperti ‘barangan lelong yang dijual di pasar lambak’.Kes rogol,bunuh dan zina sentiasa disebut hari-hari di dada akhbar.Malah kita sudah tidak jelik dan pelik lagi apabila dengar berita yang sedemikian.
Apabila berada di tempat pengajian,kaum Hawa sentiasa ke hadapan dalam soal pendidikan tidak kira dari segi kualiti atau kuantiti.Walaupun ramai kaum Hawa sudah boleh dikelaskan golongan yang berpendidikan,namun masalah keruntuhan akhlak dan syaksiah tetap menyerang kaum Hawa.Malah,kaum inilah yang sering dikatakan menjadi punca utama tercetusnya masalah seksual di kalangan generasi belia pada hari ini.Pertumbuhan hormon yang cepat matang juga berlaku dengan kadar yang drastik pada generasi kanak-kanak.Teringat saya tentang gelagat sepupu perempuan saya iaitu Tihani yang bermain-main dengan Amsyar sepupu sebaya dengannya.
“Abah,Amsyar cinta kat kita.Kita pun cinta kat Amsyar,”kata Tihani kepada bapanya.
Terkejut saya apabila mendengar perbualan kanak-kanak yang baru berumur 4tahun itu,sudah pandai berbicara soal sedemikian.
Apabila saya terjah diri saya memasuki institusi rumah tangga,kes cerai-berai berlambak-lambak berlaku seharian.Isteri bunuh suami kerana cemburu,si suami berzina dengan perempuan lain kerana ‘tension’ dengan isteri.Macam-macam yang di luar tabie syariat Islam yang dapat kita imbas,apabila kita melihat masyakat hari ini.Sehinggakan kita sudah hilang deria ‘common sense’ terhadap sesuatu perkara yang diajar oleh Islam kepada kita.
Siapakah yang bertanggungjawab merubah masyarakat yang sebegini?Malah,soalan yang lebih telus lagi,adakah ada insan yang sanggup memasuki golongan ini untuk membetulkan aqidah masyrakat yang porak-peranda ini?Atau masalah ini akan selesai apabila ia hanya dilemparkan kepada pemimpin kerajaan sahaja?Kalau tidak pun,diserahkan saja tanggungjawab ini kepada ustaz dan ustazah untuk merubahnya.Cukupkah hanya golongan itu yang dipertanggungjawabkan?
“Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum Yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka Dengan azab Yang amat berat?" orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa". Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa Yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang Yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang Yang zalim Dengan azab seksa Yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).” (Surah Al-A'raf:164-165)
Ayat di atas menjelaskan bahawa melaksanakan dakwah walaupun dalam keadaan umat telah bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran tetap menjadi tanggungjawab seorang muslim.Tindakan ini menjadi alasan atau ‘pelepas diri’ apabila berhadapan dengan Allah kelak.
“…Wanita itu mempunyai hak-hak, sama seperti juga mempunyai tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan baik, dan lelaki mempunyai kelebihan darjat di atas mereka.Dan sesunggunya Allah Maha Mulia lagi Bijaksana.”
(Surah Al-Baqarah:228)
Di dalam Al-Quran amat jelas tentang kewajipan berdakwah tidak kira perempuan atau lelaki,muda atau tua,miskin atau kaya selagi ia bergelar suatu makhluk Allah.Cukuplah dengan kalamullah menjadi asas pegangan bahawa muslimat harus bergerak untuk menyebarkan risalah islam tidak kira dirimu seorang pelajar,isteri,ibu malah janda sekalipun!Kamu tidak akan terlepas dan terkecuali dari tanggungjawab ini.
Ayuh muslimat,persiapkanlah dirimu untuk menjadi seorang daie yang berotak faqih.Marilah sama-sama kita mengislahkan masyarakat yang berada di sekeliling kita agar kita mempunyai bekal untuk berjumpa kekasih kita Yang Maha Penyayang.Dalamilah dakwah dan hayatilah perjalanannya kerana ia bukan hanya sekadar tanggungjawab tetapi menjadikan kamu insan yang berjiwa ingin 'memberi tanpa balasan'. Bai’ahkanlah dirimu untuk berada di jalan dakwah walaupun sesaat lagi hujung nyawamu akan di tarik Malaikat Izrail…Jelaskan matlamat hidupmu..
Duhai Muslimat,Ayuh Bangkitlah!....
kenangan bersama
No comments:
Post a Comment